PEMIMPIN satu amanah
 dan bukannya tempat mencari kemuliaan sebab amanah ini akan ditanya di 
akhirat nanti. Realitinya hari ini pemimpin dipuji, diberi 
sambutan dan tepuk sorak. Siapalah tidak ghairah pasang angan-angan 
menjadi pemimpin, hingga ada yang berkata: “Asyik dia orang saja dapat, 
bila lagi giliran aku pula.”
Islam sejak beratus tahun lampau mencipta rekod kepemimpinan di 
pelbagai benua dan kota, terus melakarkan beberapa pra syarat agar 
pemimpin betul-betul ‘menjadi’ dan orang yang dipimpin menerima nikmat 
kepemimpinan, bukan hanya terpimpin selamat di dunia malah juga di 
akhirat nanti.
Syarat pertama pemimpin ialah iman. Dalam surah al-Kahfi Allah 
menyatakan iman itu ada tiga implikasi, iaitu ‘imun’, ‘aman’ dan ‘amin.’
Imun maknanya kebal daripada maksiat dan kebal daripada rasuah. Aman 
maknanya dia berasa aman bila bersama Allah, malah di depan orang dia 
baik, di belakang orang pun dia tetap baik, bukannya hipokrit. Manakala 
‘amin’ pula maknanya orang yang boleh dipercayai. Apabila sudah 
dipercayai barulah layak menerima amanah .
Syarat kedua ialah ilmu kepemimpinan. Kepemimpinan bukannya secara 
spontan atau pakai tangkap muat sahaja, sebaliknya mesti ada ilmu. Makna
 kepemimpinan ialah cara menggunakan pengaruh untuk mempengaruhi 
pengikut mencapai matlamat yang digarap. Jika tidak ada ilmu, sepak 
terajang dan kerenah kepemimpinan, nanti kita pula yang dipimpin.
Syarat ketiga ialah ‘selfleadership.’ Bagaimana kita boleh memimpin 
orang lain kalau diri kita tidak terpimpin?
Perkataan ‘leader’ merujuk kepada tanggungjawab (al-mas’uliyah). 
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “Setiap kamu dalam pemimpin dan setiap
 kamu akan diminta pertanggungjawab berdasarkan apa yang kamu pimpin.”
Syarat ini menggambarkan orang yang memimpin itu mampu 
bertanggungjawab terhadap diri sendiri. Maknanya, pemimpin tidak cepat 
melemparkan tanggungjawabnya kepada orang lain, tidak cepat terpengaruh 
dengan khabar yang tidak pasti.
Jika dia melakukan kesilapan, diri sendiri menanggung risiko, bukan 
mengkambing hitamkan orang lain demi keselamatan diri.
Syarat keempat ialah pemimpin memerlukan ‘The Power Of 
Communication.’ Ketika berinteraksi dengan pengikut akan menghadapi 
pelbagai kerenah, keinginan dan tuntutan yang semestinya mampu 
menenangkan mereka walaupun hajat tidak tertunai, bukannya putar belit.
Cara berkomunikasi ada empat:
1) Cakap mudah difahami, bahasa terang, arahan jelas tidak 
berbelit-belit.
2) Kesamaan. Setiap orang mudah didampingi, tidak ada tembok pemisah 
atau terlalu protokol. Pasangan berkahwin sebab banyak kesamaan antara 
mereka. Mereka nescaya bercerai jika ada banyak perbezaannya.
3) Ikhlas. Walaupun ikhlas terletak di hati dan tidak nampak dengan 
mata namun ia dapat dirasai. Jika tidak ikhlas seakan ada satu gelombang
 yang mengganggu perasaan orang yang dipimpin. Kata-kata tidak tajam 
tidak masuk di hati.
4) The power of service. Cakap hanya perlu pada tempatnya tetapi 
bertindak semestinya lebih banyak. Allah memberikan kita dua telinga 
supaya kita banyak mendengar, Allah memberikan kita dua mata supaya kita
 banyak melihat dan mengamatinya, kemudian bertindak berasaskan 
pendengaran dan pemerhatian.
Rasanya elok juga disinggung sedikit perkara yang menambah komitmen 
moral seorang pemimpin berasaskan tafsir lima ayat surah al-Muddassir.
i- Bangun dan beri peringatan. Pemimpin mempunyai kepedulian sosial 
yang tinggi. Sekiranya di sekelilingnya terdapat perkara menyalahi 
kebenaran, dengan kuasanya dia akan meluruskannya.
ii-Mesti membasarkan Allah. Pemimpin perlu sentiasa ke depan tetapi 
jangan mendahului Allah.
iii- Bersihkan pakaiannya. Pakaian luar dan dalam iaitu hati biar 
turut bersih.
iv- Tinggalkan dosa.
v- Janganlah memberi sesuatu kerana ingin mendapat lebih banyak malah
 kalau boleh jangan ingat bahawa kita pernah memberi kepada seseorang.
Sumber : Edy PTPL
P/s: Mana  yang betul kita ambil, mana yang salah mohon diperbetulkan. Salam Jumaat :)